Search This Blog

Friday, January 21, 2011

IMAM AL-SYAFEI & WAHHABI: AL-MUJASSIMAH & AL-MUSYABBIHAH?



IMAM AL-SYAFIE & WAHHABI: AL-MUJASSIMAH & AL-MUSYABBIHAH?



by Mohd Hairi Nonchi on Wednesday, September 29, 2010 at 7:43am





Penulis: Mohd Hairi Nonchi
Sumber: Siapakah Pengikut Imam al-Syafie dan Mazhab Syafie yang Sebenar? (Edisi Revisi) karya Mohd Hairi Nonchi dan Mohd Yaakub Mohd Yunus (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru). Untuk membuat tempahan secara online Edisi Pertama buku inisila klik:http://www.jahabersa.com.my/bimbingan-dan-nasihat/siapakah-pengikut-imam-al-syafie-dan-mazhab-syafie-yang-sebenar


Jika anda lontarkan pertanyaan kepada sebahagian kaum muslimin mengenai pegangan Wahhabi dalam persoalan akidah, lazimnya antara jawapan yang anda terima adalah: “Oh.. mereka adalah golongan al-Musyabbihah dan al-Mujassimah...” atau “Wahhabi ialah mereka yang berakidah Yahudi kerana meyakini Allah bertempat di langit...”, malah tidak kurang juga ada yang mengatakan “... Wahhabi adalah golongan yang telah kafir kerana menentang akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah..” Demikian antara beberapa tohmahan yang tidak asing lagi dilontarkan kepada sesiapa jua yang telah ‘disinonimkan’ dengan gelaran Wahhabi. Untuk menilai sejauh manakah benarnya tohmahan-tohmahan di atas, marilah kita ikuti perbahasan selanjutnya.

BENARKAH WAHHABI BERAKIDAH AL-MUJASSIMAH DAN AL-MUSYABBIHAH? 

Salah satu sifat yang tidak pernah lekang daripada Ahl al-Bid’ah ialah sikap mereka yang begitu rakus di dalam melontarkan pelbagai gelaran negatif ke atas para pendukung al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. [1] Antara tohmahan yang masyhur dikaitkan oleh kelompok ini ke atas Ahl al-Sunnah sejak dari dahulu sehingga ke saat ini ialah Ahl al-Sunnah sebagai penganut fahaman al-Mujassimah dan al-Musyabbihah iaitu satu fahaman yang menganggap Allah sebagai Tuhan yang berjasmani (berjisim/beranggota) dan memiliki sifat yang sama dengan sifat makhluk-Nya.

Abu ‘Uthman as-Shobuni rahimahullah (449H) menerusi kitabnya, ‘Aqidah al-Salaf wa Ashab al-Hadith, jld. 1, ms. 131-132 telah pun menerangkan hakikat ini:[2]

Ciri-ciri Ahl al-Bid’ah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terangan memusuhi dan menghina Ahl al-Sunnah dan Ahl al-Atsar serta memberi nama-nama yang buruk kepada mereka seperti al-Hasyawiyyah (orang yang tidak berguna), al-Jahala (orang yang jahil), al-Zahiriyyah (orang yang berpegang kepada yang zahir) dan al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk).

Demikian juga sebagaimana yang dituturkan oleh Imam al-Barbahari rahimahullah (329H) di dalam kitabnya, Syarhus Sunnah, ms. 84 (no. 141) :[3]

Jika anda mendengar seseorang berkata: “Si Fulan adalah al-Musyabbihah atau si Fulan berbicara tentang masalah tasybih”, maka katakanlah bahawa dia seorang al-Jahmiyyah.

Bagi meluruskan semula salah faham ini, penulis akan mendedahkan kepada sidang pembaca sekalian kepada manhaj sebenar Wahhabi dalam persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah dan perkaitannya dengan manhaj yang dipegangi oleh Imam al-Syafie serta para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah seluruhnya.

MEMAHAMI MANHAJ SEBENAR WAHHABI DAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA'AH YANG BERMANHAJ AL-SALAF AL-SHALIH DALAM PERSOALAN TAUHID AL-ASMA' WA AL-SIFAT ALLAH.

Secara ringkasnya, menurut manhaj Wahhabi dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah,  segala sifat yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya hendaklah ditetapkan sebagaimana adanya, difahami maknanya serta menyerahkan (al-Tafwidh) bentuk, ciri-ciri dan tata cara (kaifiyyat) sifat tersebut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan disertai keyakinan bahawa tiada satu jua daripada kalangan makhluk Allah yang dapat disamakan atau disetarakan dengan-Nya. Adapun dalil yang dipegangi oleh Wahhabi dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah disebalik manhaj penetapan (ithbat) dan penyerahan (tafwidh) hakikat nas-nas al-Sifat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala ini adalah sebagaimana firman-Nya menerusi surah al-Ikhlas ayat 4 dan ayat 11 dari surah asy-Syura:

Maksudnya: Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.

Maksudnya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa (semisal) dengan-Nya (dzat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Perhatikan, dalam ayat kedua di atas Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa:
  • Pertama: Allah Subhanahu wa Ta’ala menetapkan (ithbat) ke atas diri-Nya sendiri bahawa Dia memiliki sifat mendengar dan melihat sebagaimana firman-Nya Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Di sini timbul persoalan, bukankah kedua-dua sifat (mendengar dan melihat) ini juga terdapat pada kebanyakan makhluk-Nya? 
  • Kedua: Allah Subhanahu wa Ta’ala menafikan adanya kesamaan hakikat bagi sifat yang dimiliki-Nya dengan sifat yang dimiliki oleh para makhluk-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa (semisal) dengan-Nya. Poin yang kedua ini adalah bertindak sebagai penjelas kepada persoalan yang dikemukakan dalam poin pertama di atas iaitu; meskipun Allah Subhanahu wa Ta’ala menetapkan ke atas diri-Nya bahawa Dia memiliki sifat-sifat tertentu yang secara lafaznya menyamai sifat para makhluk-Nya, namun di waktu yang sama Dia juga menafikan wujudnya kesamaan hakikat sifat tersebut dengan sifat makhluk-Nya.   Ini kerana adalah suatu yang mustahil bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala memiliki kesamaan sifat dengan makhluk-Nya. Ini sebagaimana yang ditegaskan-Nya sendiri menerusi surah al-Ikhlas ayat 4 di atas yang bermahfum: Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.
    Dengan perkataan lain:[4]
      • Lafaz ayat ليس كمثله شيء (iaitu) Tidak ada sesuatu pun yang serupa (semisal) dengan-Nya merupakan bantahan kepada golongan yang menyamakan sifat-sifat Allah dengan makhluk-Nya (iaitu golongan al-Mujassimah dan al-Musyabbihah).
      • Sedangkan lafaz ayat وهو السميع البصير (iaitu) Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat adalah bantahan kepada orang yang menafikan (mengingkari) sifat-sifat Allah (iaitu golongan al-Jahmiyyah, al-Muktazilah dan seumpama dari kalangan Ahl al-Ta’thil).[5]
        Demikian betapa mudahnya untuk kita memahami manhaj Wahhabi dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah  dalam berinteraksi dengan tauhid al-Asma' wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala ini. Amatlah malang apabila manhaj Wahhabi dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang amat mudah dimengertikan ini tidak dapat difahami oleh Ahl al-Bid'ah sehingga yang demikian menyebabkan mereka begitu mudah mengaitkan Ahl al-Sunnah dengan akidah al-Musyabbihah dan al-Mujassimah sebagaimana yang sering ditemui dalam banyak keterangan mereka.

        ADAKAH MANHAJ WAHHABI DALAM PERSOALAN TAUHID AL-ASMA' WA AL-SIFAT ALLAH BERBEZA DENGAN PEGANGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA'AH TERMASUK IMAM AL-SYAFIE?

        Tidak. Malah yang lebih tepat dikatakan bahawa Wahhabi memiliki manhaj yang sama dengan seluruh para tokoh terkemuka Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih. Tidak ketinggalan dalam hal ini ialah Imam al-Syafie sebagaimana yang akan dijelaskan sebentar lagi. Sebelum itu, perhatikan dahulu perkataan Imam al-Tirmidzi rahimahullah (279H) di bawah ini: [6]

        قد قال غير واحد من أهل العلم في هذا الحديث وما يشبه هذا من الروايات من الصفات ونزول الرب تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا، قالوا: قد تثبت الروايات في هذا ويؤمن بها ولا يتوهم ولا يقال كيف، هكذا روي عن مالك وسفيان بن عيينة وعبد الله بن المبارك أنهم قالوا في هذه الأحاديثأمِرُّوها بلا كيف وهكذا قول أهل العلم من أهل السنة والجماعة. وأما الجهمية فأنكرت هذه الروايات فقالوا: هذا تشبيه. وقد ذكر الله عز وجل في غير موضع من كتابه: اليد والسمع والبصر، فتأولت الجهمية هذه الآيات ففسروها على غير ما فسرها أهل العلم وقالوا: إن الله لم يخلق آدم بيده، وقالوا إن معنى اليد ههنا القوة. قال إسحاق بن إبراهيم إنما يكون التشبيه إذا قال: يد كيد أو مثل يد، أو سمع كسمع أو مثل سمع، فإذا قال: سمع كسمع أو مثل سمع فهذا التشبيه. وأما إذا قال كما قال الله تعالى: يد وسمع وبصر ولا يقول كيف ولا يقول مثل سمع أو كسمع فهذا لا يكون تشبيها، وهو كما قال الله تعالى في كتابه: ليس كمثله شيء وهو السميع البصير.

        Maksudnya:

        Dan sungguh bukan seorang daripada ahli ilmu telah berkata tentang hadis ini dan yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat berkenaan sifat-sifat (Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan (berkenaan sifat) turun Tuhan (Allah) Tabaraka Wa Ta’ala pada setiap malam ke Langit Dunia. Mereka mengatakan (bahawa) riwayat-riwayat dalam (hal) ini adalah tsabit (sahih) dan diimani dengannya, tetapi tidak harus diwahamkan (dibayangkan) atau diperkatakan kaifiyyat (bentuk rupa)nya. Demikianlah (apa) yang diriwayatkan daripada (Imam) Malik, Sufyan Ibn ‘Uyainah dan ‘Abd Allah Ibn Al-Mubarak bahawa mereka berkata tentang hadis-hadis ini:Perjalankanlah (terimalah) ia tanpa mempersoalkan bagaimana (kaifiyyatnya). Demikianlah pendapat para ulamak dari kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

        Manakala golongan al-Jahmiyyah pula mereka mengingkari riwayat-riwayat ini kerana menganggapnya ada tasybih (penyerupaan sifat Allah dengan sifat makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyebut pada lebih dari satu tempat dalam kitab-Nya (sifat) Tangan, Mendengar dan Melihat, lalu puak al-Jahmiyyah mentakwilkan (maksud) ayat-ayat ini dan menafsirkannya dengan tafsiran yang berbeza daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka (al-Jahmiyyah) berkata: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan Nabi Adam dengan Tangan-Nya, dan mereka juga berkata: Sesungguhya makna Tangan itu di sini ialah kudrat (kuasa). 

        Telah berkata Ishaq Ibn Ibrahim: Sesungguhnya tasybih itu akan berlaku bila dia kata: (Sifat) Tangan (Allah) seperti (sifat) tangan (makhluk) atau seumpama (sifat) tangan (makhluk), (sifat) Mendengar (Allah) seperti (sifat) mendengar (makhluk) atau seumpama (sifat) mendengar (makhluk). Bila dia kata: (sifat) Mendengar (Allah) seperti (sifat) mendengar (makhluk) atau seumpama (sifat) mendengar (makhluk), maka itulah tasybih.

        Adapun jika dia kata sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala kata: Tangan, Mendengar dan Melihat, tanpa mempersoalkan kaifiyyat (rupa bentuk) dan tanpa mengatakan seumpama (sifat) mendengar (makhluk) atau seperti (sifat) mendengar (makhluk), maka yang demikian tidak akan menjadi tasybih. Ini kerana ia sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab-Nya (bermaksud): Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (dzat, sifat-sifat dan pentadbiran)-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

        Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (tsabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiyyat).  Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiyyat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

         Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat  ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu.  Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihis salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.

        Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.


        Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiyyat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. 

        Demikian penjelasan Imam al-Tirmidzi rahimahullah mengenai pegangan sebenar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seterusnya mari kita meneliti pula keterangan daripada Imam al-Syafie rahimahullah dan para tokoh Ahl al-Sunnah terkemuka yang turut dilabel sebagai “Wahhabi” berhubung dengan pegangan mereka dalam berinteraksi dengan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

        MENELITI PEGANGAN SEBENAR IMAM AL-SYAFIE DAN WAHHABI DALAM PERSOALAN TAUHID AL-ASMA' WA AL-SIFAT ALLAH.

        Imam al-Syafie rahimahullah (204H) berkata di dalam kitabnya, ar-Risalah, ms. 8: [7]

        ولا يبلغ الواصفون كنه عظمته الذي هو كما وصف نفسه وفوق ما يصفه به خلقه.

        Maksudnya:

        Dan para penyifat tidak mampu menyifatkan hakikat keagungan-Nya yang Dia adalah sebagaimana Dia sifatkan diri-Nya (dalam al-Quran) dan melebihi apa yang disifatkan oleh makhluk-Nya bagi-Nya.

        Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah  (852H) di dalam kitabnya Fath al-Baari Bi Syarh Shahih al-Bukhari, jld. 13, ms. 407 telah menukilkan perkataan Ibn Abi Hatim sebagaimana yang diriwayatkan daripada Yunus Ibn ‘Abd al-A’la:

        سمعت الشافعي يقول: لله أسماء وصفات لا يسع أحدا ردها ومن خالف بعد ثبوت الحجة عليه فقد كفر، وأما قبل قيام الحجة فإنه يعذر بالجهل لأن علم ذلك لا يدرك بالعقل ولا الرؤية ولا الفكر، فنثبت هذه الصفات وننفي عنه التشبيه كما نفى عن نفسه.

        Maksudnya:

        Aku dengar (Imam) al-Syafie berkata: Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat yang tidak boleh sesiapa pun menolaknya, dan sesiapa yang menyalahinya setelah nyata hujah ke atasnya, maka sesungguhnya dia telah kufur. Adapun sebelum tertegaknya hujah, maka sesungguhnya dia dimaafkan di atas kejahilan itu kerana ilmu yang demikian tidak boleh dicapai melalui akal, mimpi atau fikiran. Maka kita menetapkan sifat-sifat ini dan kita juga menafikan tasybih dari-Nya sebagaimana Dia menafikannya dari diri-Nya.

        Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah menerusi kitabnya Ijtima’ al-Juyush al-Islamiyyah, jld. 2, ms. 164 meriwayatkan bahawa Imam al-Syafie rahimahullah berkata:[8]

        القول في السنة التي أنا عليها ورأيت أصحابنا عليها، أهل الحديث الذين رأيتهم و أخذت منهم مثل سفيان ومالك وغيرهما: الاقرار بشهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله، وأن على عرشه في سمائه يقرب من خلقه كيف يشاء، وأن الله ينزل إلى سماء الدنيا كيف.

        Maksudnya:  

        Akidah yang aku pegang dan pegangan Ahl al-Hadith yang aku kenali dan yang pelajari daripada mereka seperti Sufyan dan Malik dan selain dari dua tokoh tersebut ialah iqrar (pengakuan) dengan penyaksian bahawa tiada Tuhan sebenar yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya dan Allah di atas ‘Arasy di langit[9] dekat dengan hamba-Nya mengikut (cara) yang dikehendaki-Nya dan Dia turun ke langit dunia mengikut cara yang dikehendaki-Nya.

        Selanjutnya Imam al-Syafie rahimahullah berkata:[10]

        وان له يدين بقوله عز وجل (بل يداه مبسوطنان) وان له يمينا بقوله عز وجل (والسماات مطويات بيمينه) وان له وجها بقوله (كل شيئ هالك الا وجهه)... وان له قدما بقوله صلى الله عليه وسلم (حتى يضع عز وجل فيها قدمه)... وان له اصبعا بقوله صلى الله عليه وسلم (ما من قلب الا هو بين اصبعين من اصابع الرحمان)... نثبت هذه الصفات وننفي التشبيه كما نفي ذلك عن نفسه تعالى ذكره فقال (ليس كمثله شيء وهو السميع البصير).

        Maksudnya:

        Dan bagi-Nya dua tangan sebagaimana firman-Nya: (Tidak demikian), tetapi kedua-kedua Tangan Allah terbuka. Bagi-Nya tangan sebagai firman-Nya: Dan langit digulung dengan Tangan-Nya. Allah mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya: Setiap sesuatu akan binasa kecuali Wajah-Nya. Bagi-Nya kaki sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: Sehinggalah dia meletakkan Wajah dan Kaki-Nya. Dia mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: Tiadalah hati itu kecuali antara Jari-Jari dari Jari-Jari ar-Rahman (Allah). Kami (Imam al-Syafie dan ulamak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah lainnya) menetapkan sifat-sifat (ithbat) ini dan menafikan dari menyerupakan (tasybih) sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan (oleh-Nya): Tiada sesuatu yang semisal dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.

        Demikian secara ringkas penerangan mengenai pegangan Imam al-Syafie rahimahullah dalam persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ringkasnya pegangan Imam al-Syafie rahimahullah dalam persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah adalah selaras dengan kaedah yang digunakan oleh para tokoh Salaf lainnya iaitu menetapkan (ithbat) sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tanpa tasybih iaitu tanpa menyerupakan sifat tersebut dengan sifat-sifat makhluk.

        Manhaj yang dipegangi oleh Imam al-Syafie rahimahullah ini juga turut digunakan oleh para ulamak bermazhab Syafie yang mengikuti beliau dalam berinteraksi dengan nas-nas al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala, antaranya ialah Syeikh al-Rabi’ bin Sulaiman rahimahullah iaitu salah seorang murid kanan kepada Imam al-Syafie rahimahullah.

        Imam al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah ketika menerangkan pegangan sebenar Syeikh al-Rabi’ bin Sulaiman al-Syafie rahimahullah dalam persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat menulis di dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 10, ms. 694:[11]

        وَقَدْ رُوِيَ عَنِ الرَّبِيْعِ وَغَيْر وَاحِدٍ مِنْ رُؤُوْسِ أَصْحَابِهِ مَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ كَانَ يُمِرُّ بِآيَاتِ الصِّفَاتِ وَأَحَادِيْثِهَا كَمَا جَاءَتْ مِنْ غَيْرِ تَكْيِيْفٍ وَلاَ تَشْبِيْهٍ وَلاَ تَعْطِيْلٍ وَلاَ تَحْرِيْفٍ عَلَى الطَّرِيْقِ السَّلَفِ. 

        Maksudnya:

        Dan telah diriwayatkan dari al-Rabi’, salah seorang murid Imam al-Syafie yang paling kanan dan beberapa sahabat yang senior yang menunjukkan bahawa dia mengikuti ayat-ayat dan hadis-hadis sifat-sifat Allah seperti apa adanya tanpa takyif (tanpa ditanya, dibincang dan dipersoalkan bagaimana sifat tersebut), tanpa tasybih (tanpa diserupakan), tanpa ta’thil (tidak diingkari atau dibatalkan) dan tanpa tahrif (tidak diubah atau ditukar). Begitulah cara yang sesuai dengan cara Salaf.

        Berikut dinukilkan pula pegangan sebenar dua orang tokoh Ahl al-Sunnah yang sering dimasyhurkan oleh kebanyakan Ahl al-Bid’ah sebagai pengasas kepada fahaman Wahhabi. Mereka yang dimaksudkan ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) dan Syeikh Muhammad Ibn Abd al-Wahab rahimahullah  (1206H).[12]

        Berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) menerusi kitabnya, al-'Aqidah al-Wasathiyyah, ms. 5-7:[13]

        فهذا اعتقاد الفرقة الناجية المنصورة إلى قيام الساعة، أهل السنة والجماعة وهو الإيمان بالله...ومن الإيمان بالله الإيمان بما وصف به نفسه في كتابه وبما وصفه به رسوله محمد صلى الله عليه وسلم من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا ثمثيل بل يوءمنون بأن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو السميع البصير فلا ينفون عنه ما وصف به نفسه ولا يحرّفون الكلم عن مواضعه ولا يلحدون في أسماء الله وآياته ولا يكيّفون ولا يمثّلون صفاته بصفات خلقه لأنه سبحانه لا سميّ له ولا كفو له ولا ند له ولا يقاس بخلقه سبحانه وتعالى...

        Maksudnya:  

        Maka ini adalah iktikad Firqah al-Najiyah (puak yang selamat) Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya dalam kitab-Nya dan dengan apa yang telah Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkan-Nya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’thil (menafikan/menolak sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan/membayangkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamtsil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Bahkan, mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (dzat, sifat-sifat dan pentadbiran)-Nya dengan sesuatu apa pun dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

        Mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) tidak menafikan dari-Nya apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayat-Nya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifat-Nya dengan sifat-sifat makhluk-Nya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai nama-Nya, tidak ada yang menyetarai-Nya, tidak ada yang menyekutui-Nya dan tidak boleh dikiaskan-Nya dengan makhluk-Nya Subhanahu wa Ta’ala...

        Dalam kitab yang sama, ms. 23-24, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahmahullah  menyebut:

        فإن الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة يؤمنون بذلك كما يؤمنون بما أخبر الله به في كتابه من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا تمثيل بل هم الوسط في فرقة الأمة كما أن الأمة هي الوسط في الأمم فهم وسط في باب صفات الله سبحانه وتعالى بين أهل التعطيل الجهمية وأهل التمثيل المشبهة...

        Maksudnya:  

        Maka sesungguhnya Firqah al-Najiyah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas hadis berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala ), sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitab-Nya, tanpa tahrif, tanpa ta’thil, tanpa takyif dan tanpa tamtsil. Bahkan merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga yang sederhana di kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara Ahl al-Ta’thil al-Jahmiyyah dan Ahl al-Tamtsil al-Musyabbihah.

        Sementara itu, Syeikh Muhammad Ibn Abd al-Wahab rahimahullah (1206H) pula berkata:[14]

        أُشهد الله ومن حضرني من الملائكة وأشهدكم أني اعتقد ما اعتقدته الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة من الإيمان بالله وملائكته وكتبه ورسله والبعث بعد الموت والإيمان بالقدر خيره وشره، ومن الإيمان بالله الإيمان بما وصف به نفسه في كتابه على لسان رسوله صلى الله عليه وسلم من غير تحريف ولا تعطيل بل أعتقد أن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو السميع البصير، فلا أنفي عنه ما وصف به نفسه ولا أحرف الكلم عن مواضعه ولا ألحد في أسمائه وآياته ولا أكيف ولا أمثل صفاته تعالى بصفات خلقه لأنه تعالى لا سميّ له ولا كفؤ له ولا ند له ولا يقاس بخلقه فإنه سبحانه أعلم بنفسه وبغيره وأصدق قيلا وأحسن حديثا، فنـزّه نفسه عما وصفه به المخالفون من أهل التكييف والتمثيل وعما نفاه عنه النافون من أهل التحريف والتعطيل فقال: سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين.

        Maksudnya:

        Aku mempersaksikan kepada Allah dan kepada para Malaikat yang hadir di depanku, dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku beriktikad (berpegang) dengan iktikad (pegangan) Firqah al-Najiyah (puak yang selamat) Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk. Antara (ciri) keimanan dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia sifatkan diri-Nya dengannya dalam kitab-Nya melalui lidah Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna) dan tanpa ta’thil (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan aku beriktikad bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

         Justeru aku tidak menafikan dari-Nya apa yang Dia sifatkan diri-Nya dengannya, aku juga tidak tahrifkan kata-kata (lafaz-lafaz al-Quran) dari maksud-maksudnya, aku juga tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama serta ayat-ayat-Nya, aku juga tidak mentakyif (menggambarkan rupa bentuk) dan tidak mentamtsil (mengumpamakan makna) sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan sifat-sifat makhluk-Nya, kerana Dia Maha Tinggi, tiada persamaan, tiada kesetaraan dan tiada sekutu bagi-Nya, Dia tidak boleh dikiaskan (dianalogikan) dengan makhluk-Nya kerana sesungguhnya Dia yang Maha Suci lebih mengetahui tentang diri-Nya dan yang selain-Nya.

        Dia yang paling benar dan paling elok percakapan-Nya, Dia mensucikan diri-Nya daripada apa yang disifatkan pada diriNya dengannya oleh para penyeleweng dari kalangan Ahl al-Takyif dan Tamtsil, dan (Dia juga mensucikan diri-Nya) daripada apa yang dinafikan dari-Nya oleh para penafi dari kalangan Ahl al-Tahrif dan Ta’thil, lalu Dia berfirman: Maha suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dari apa yang mereka sifatkan, dan selamat sejahtera ke atas sekelian Rasul, dan segala pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam.

        Kemudian beliau juga berkata sebagaimana yang tersebut di dalam kitab ad-Durar al-Saniyyah, jld. 3, ms. 11:[15]

        Ketahuilah sesungguhnya golongan yang melakukan penyelewengan dan pemesongan (tahrif) terhadap sifat-sifat dan nama-nama Allah itu berbeza dan sentiasa berselisih pendapat dengan golongan yang membayangkan bentuk Allah (tajsim). Mereka selalunya tidak sependapat dan bermusuhan antara satu sama lain. Ketahuilah, sesungguhnya yang benar adalah mereka yang bersederhana di antara kedua-duanya.

        SIAPAKAH YANG SEBENARNYA BERAKIDAH AL-MUSYABBIHAH DAN AL-MUJASSIMAH?

        Jika difikirkan secara mendalam yang sebenarnya berakidah al-Musyabbihah dan al-Mujassimah ialah para pengingkar dan pentakwil nas-nas al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sendiri. Hal ini kerana mereka pada asalnya sedia beriktikad bahawa segala sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang dikhabarkan oleh-Nya menerusi al-Qur’an dan al-Sunnah Rasul-Nya adalah sesuatu yang menyerupai sifat-sifat makhluk-Nya. Lantas dengan itu mereka menolaknya (ta’thil) dan mentakwilkan sebahagian lainnya kepada sesuatu pengertian yang sesuai menurut kehendak hawa nafsu dan akal fikiran mereka semata-mata.

        Amat tepatlah apa yang dijelaskan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Hassan di mana beliau menulis di dalam Fath al-Majid Syarh Kitab al-Tauhid, ms. 402: [16]

        Golongan al-Jahmiyyah serta golongan yang bersepakat dengan pandangan mereka di atas permasalahan ta’thil menafikan apa yang disifatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap diri-Nya serta penetapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap diri-Nya dengan segala sifat-sifat kesempurnaan serta ketinggian. Mereka mendakwa bahawa sifat-sifat ini menunjukkan kepada al-Ajsam (Tuhan itu mempunyai jasad serta tubuh seperti manusia). Oleh itu sesiapa yang menetapkannya maka dia menetapkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu berjisim.

        Hakikatnya ini merupakan kesesatan serta kerosakan akal fikiran mereka. Mereka tidak memahami sesuatu pun tentang sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala  melainkan (pada mulanya mereka) menyamakannya dengan sifat makhluk lalu menafikan terus sifat-sifat tersebut kerana pada sangkaan mereka ia menyamai apa yang terdapat pada makhluk. Dengan itu mereka menolak apa yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri yang mengithbathkan  (menetapkan) sifat-sifat Diri-Nya serta ia ditetapkan pula oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan segala ketinggian serta keagungan-Nya.

        Kenyataan yang hampir serupa juga diutarakan oleh Syeikh Abu Bakar al-Jabir al-Jazairi rahimahullah dimana beliau pernah berkata: [17]

        Bukankah orang yang menolak salah satu sifat Allah Ta’ala dengan alasan takut menyamakan-Nya dengan makhluk itu sebenarnya telah menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk? Ia takut berlaku penyamaan sifat lalu lari daripadanya menuju kepada penafian sifat-sifat Allah Ta’ala dan meniadakannya. Akhirnya ia menafikan sifat-sifat Allah Ta’ala yang ditegaskan Allah Ta’ala untuk diri-Nya dan meniadakannya.

        Maka dengan itu, ia telah menghimpun dua dosa besar iaitu menyamakan sifat Allah Ta’ala dengan sifat makhluk dan meniadakan sifat-sifat-Nya. Oleh yang demikian bukanlah masuk akal kalau Allah Ta’ala boleh disifati dengan sifat-sifat yang Dia sendiri sifatkan dan dengan sifat-sifat yang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sifatkan untuk-Nya berserta dengan keyakinan bahawa Dia mempunyai sifat-sifat yang tidak serupa dengan sifat makhluk sebagaimana dzat Allah ‘Azza wa Jalla tidak sama dengan dzat makhluk.

        KESIMPULAN PERBINCANGAN.

        Kesimpulannya, tiada perbezaan yang ketara antara Wahhabi dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah termasuk Imam al-Syafie rahimahullah dalam memahami persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebaliknya yang sebenarnya bertentangan dengan prinsip Imam al-Syafie dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam persoalan ini ialah para pemfitnah itu sendiri kerana:
          • Pertama: Kebanyakan para pemfitnah itu khususnya mereka yang mengaku bermazhab Syafie di nusantara (termasuk di Malaysia) sendiri menyelisihi akidah Imam al-Syafie. Buktinya, cubalah anda tanyakan kepada mereka mengenai persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat di sisi Imam al-Syafie, nescaya anda akan temui kebanyakan para pemfitnah ini mengaitkan Imam al-Syafie tersebut dengan akidah Sifat 20, walhal kaedah pengajian Sifat 20 ini tidak pernah dikenali di sisi Imam al-Syafie rahimahullah mahupun dalam kalangan murid-muridnya.
          • Kedua: Selain itu, tidak sedikit kita dapati dalam kalangan mereka yang mengaku sebagai bermazhab Syafie ini mentakwil sekian-sekian nas al-Sifat Allah atas alasan – kononnya – bagi mengelakkan Tasybih dan Tajsim terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala. Walhal jika dikaji keseluruhan kitab-kitab muktabar Imam al-Syafie rahimahullah maka tidak ditemui adanya satu pun kenyataan beliau yang menunjukkan bahawa beliau mengaplikasikan kaedah al-Takwil terhadap nas-nas al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebaliknya beliau hanyalah menetapkan sifat-sifat tersebut tanpa takwil dan tanpa tasybih sebagaimana yang terdapat dalam beberapa keterangan beliau yang telah lalu.
            Persoalannya sekarang, siapakah sebenarnya yang menyelisihi akidah Imam al-Syafie sekaligus terkeluar daripada pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah? [18]

            Nota kaki:

            [1]  Lebih lanjut mengenai watak dan ciri-ciri Ahl al-Bid’ah, sila rujuk Artikel # 5 yang penulis lampirkan bersama buku ini.

            [2]  Dinukil daripada Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah: 73 Penilaian Semula Ke Atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari karya Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru 2002), ms. 35. Rujukan ini selanjutnya akan diringkaskan kepada Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku  Salafiyah Wahabiyah sahaja.

            [3]  Dinukil daripada Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 34.

            [4]  Lihat Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah karya Yazid bin Abdul Qadir Jawas, ms. 164.

            [5]  Antara lain-lain sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sering diingkari oleh Ahl al-Bid’ah dari kalangan Ahl al-Ta’thil (para pengingkar sifat-sifat Allah) adalah seperti sifat memiliki Tangan (al-Yad), Wajah (al-Wajh), Mata (al-‘Ain), Turun ke langit dunia (al-Nuzul) bersemayam (al-Istiwa’) dan sebagainya.

            [6]  Sunan at-Tirmidzi, jld. 3, ms. 50-51; dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? karya Dr. Azwira Abdul Aziz (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2006), ms. 79-82. Rujukan ini selanjutnya akan diringkaskan kepada Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? sahaja.

            [7]  Sila lihat kedua-dua ucapan Imam al-Syafie ini dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 76-78.

            [8]  Dinukil daripada Al-Imam Al-Syafi’i: Kegemilangan Ilmu & Pemikiran selenggaraan Sakinah Ariff Johor (Karya Bestari Sdn. Bhd., Selangor, 2006), ms. 103.

            [9]  Alhamdulillah penulis memiliki sebuah buku khas yang membicarakan persoalan sifat al-Istiwa’ Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas ‘Arasy di atas langit. Buku tersebut berjudul Aina Allah? (Di Mana Allah?) terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. Dipersilakan merujuk buku tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan persoalan “di mana Allah?” menurut perspektif Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih. 

            [10] Iktiqad Aimmah al-Arba’ah Abi Hanifah wa Malik wa asy-Syafi’i wa Ahmad, ms. 46-47; dalam Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh karya Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001), jld. 1, ms. 14-15.

            [11]  Dinukil daripada Wahabi, Wahabi, Wahabi!: Apa Kata Uthman El-Muhammady dan Apa Ulasan Ustaz Rasul Dahri? (Syarikat Ummul Qura Sdn. Bhd., Johor Bahru, 2009), ms. 16-17.

            [12]  Di sini penulis menyerahkan kepada kebijaksanaan para pembaca yang budiman sekalian untuk membuat penilaian secara adil terhadap kebenaran dakwaan Ahl al-Bid’ah yang mengatakan bahawa pegangan Wahhabi dalam persoalan akidah sebagai bercanggah dengan pegangan Imam al-Syafie dan para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

            [13] Lihat kedua-dua ucapan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ini dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 47-50. 

            [14] Dinukil daripada Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 106-112.

            [15] Dinukil daripada Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab: Antara Fakta & Palsu selenggaraan oleh Sakinah Ariff Johor (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2007), ms. 59-60.

            [16] Dinukil daripada Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab (Edisi Lengkap) karya Abdul Aziz bin Muhammad bin Ali al-Abd al-Lathif (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2009), ms. 203. Rujukan ini selanjutnya akan diringkaskan kepada Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab sahaja.

            [17] Dinukil daripada Minhaj al-Muslim Aqaid wa Adab wa Akhlaq wa Ibadat wa Mu’amalat karya Syeikh Abu Bakar al-Jabir al-Jazairi; dalam edisi terjemahan oleh Fadhli Bahri (Darul Falah, Jakarta & Pustaka Dini Sdn. Bhd, Selangor, 2006), jld. 1, ms. 40-41.

            [18] Lebih lanjut berkaitan dengan persoalan tauhid al-Asma’ wa al-Sifat Allah menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih, sila rujuk Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah karya Mohd Yaakub Mohd Yunus terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru.

            Makluman: Sila dapatkan juga nota-nota saya yang lain (klik "notes" di wall FB saya) dan kongsikan ia dengan rakan-rakan yang lain. Syukran.

            Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...